Monday 17 June 2013

INFO HIBURAN: Yuna bakal buat konsert di Istana Budaya



Ehsan: Berita Harian

Kepada peminat Yuna, nampaknya impian mereka untuk menyaksikan artis wanita bertudung ini mengadakan konsert berskala besar di ibu negara akan terlaksana tidak lama lagi. 

Ada seorang teman memberitahu, penyanyi dan pencipta berbakat besar itu sudah pun menghantar permohonan untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB), tahun ini. Kalau tidak silap Cik Normah, persembahan berkenaan akan dilangsungkan pada penghujung tahun. 
Setakat ini, Cik Normah tidak perasan pula kalau sudah ada hebahan mengenai perkara berkenaan. 

Namun, kalau betul maklumat yang sampai ke telinga Cik Normah, tentulah ramai pengikut setia Yuna yang tersenyum lebar sekarang. Sebahagiannya pula bolehlah mula kumpul duit sikit-sikit untuk beli tiket. Kalau tidak, kempunan pula nanti. 

Cik Normah juga boleh bayangkan Yuna berada di pentas berprestij itu dengan kumpulan pemuziknya. 

Sesuai sangatlah kalau IB yang jadi lokasi konsert Yuna sebab ia boleh menimbulkan suasana cukup intim antara artis dengan peminat. 

Tak apa, kita pakat tunggu ramai-ramai apakah Yuna akan membuat pengumuman rasmi berhubung persembahan yang satu ini.

INFO SUKAN: FAM Undang Lebih Banyak Tohmahan



Ehsan: Berita Harian

Kuala Lumpur: Sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya ‘berdiam diri’ apabila diajukan soalan berkenaan duit penajaan Liga Malaysia berjumlah RM30 juta setahun, mengundang lebih banyak tohmahan kepada badan induk bola sepak negara itu. 

Timbalan Presiden FAM yang digantung, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini menimbulkan persoalan berkenaan pengurusan dana tajaan Astro bernilai RM120 untuk tempoh empat tahun bermula musim 2011. 
Annuar yang turut terbabit dalam perbincangan mendapatkan tajaan berkenaan ketika menjadi pengerusi Malaysian Super League (MSL) sebelum dia digantung dua tahun setengah April tahun lalu, seharusnya tahu butiran perbelanjaan FAM. 

“Annuar selaku Timbalan Presiden sepatutnya tahu jumlah perbelanjaan FAM dalam setahun,” kata salah seorang bekas pegawai FAM yang enggan didedahkan namanya. 

“Tetapi ada baiknya dia menimbulkan persoalan itu kerana rakyat patut tahu. 


“Yang menjadi masalah sekarang, apabila FAM berdiam diri, pelbagai tohmahan timbul menyebabkan reputasi badan induk bola sepak negara itu tercalar. Jika tidak ada apa yang hendak disorok, lebih baik dijelaskan saja.” 

Tuesday 11 June 2013

INFO SUKAN: Skuasy Negara Menang Bergaya


Ehsan: Sinar harian 11/6/2013
SKUAD Malaysia mencatat kemenangan pertama pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) yang berlangsung di Mulhouse, Perancis, kelmarin.

Pada pertemuan itu.pemain Malaysia mengalahkan Botswana 2-1 dalam perlawanan pertama mereka.

Mohd Nafiizwan Adnan menyumbangkan mata pertama negara mengalahkan Lekgotla Mosope dalam perlawanan straight set 11-6, 11-4 dan 11-5 tetapi Ong Beng Hee tewas mengejut di tangan Alister Walker, 3-11, 8-11 dan 9-11.

Begitu pun, mata kemenangan berjaya diraih menerusi Muhd Asyraf Azandengan menewaskan Koketo Ntshebe, 11-3, 11-4 dan 11-6.

“Perlawanan pertama selalunya sukar. Alister bermain dengan sangat baik dan saya cuba sentiasa berwaspada demi pasukan meskipun ia bukan tugas yang mudah. Ia melibatkan soal mental," katanya.

Malaysia akan menentang New Zealand dalam pusingan kedua Round Robin Kumpulan E sebelum bertemu Poland pada 11 Jun.

Nik Nazmi: Sekat Media Sosial Langkah Undur Ke Belakang


Ehsan: Media Selangorku
SHAH ALAM 11 JUN: Sekatan media sosial yang dicadangkan sesetengah pihak untuk mencegah penyebaran fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara merupakan langkah ke belakang jika ia dilaksanakan kelak.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, media sosial merupakan realiti masa kini dan Kerajaan Pusat seharusnya memikirkan langkah lebih proaktif berbanding mengambil pendekatan menyekat media sosial seperti Facebook dan Twitter daripada terus digunakan.
Katanya, tindakan sedemikian hanyalah mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat kerana media sosial digunakan hampir setiap rakyat pelbagai peringkat umur di negara ini.
“Bagi saya ini merupakan langkah ke belakang, kerana pada saya, media sosial adalah satu realiti yang berlaku pada hari ini.
“Saya tidak menyatakan bahawa pengguna bebas berbuat apa sahaja, tetapi jika ada apa tindakan yang tidak sesuai, maka ambil tindakan di atas perlakuan tersebut, bukannya menyekat media sosial secara menyeluruh,” katanya kepada TVSelangor.
Sebelum ini, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) meminta kerajaan menyekat laman sosial Facebook seperti yang dilakukan di Iran dan China bagi membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Tindakan ini disebabkan ada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial ini dengan komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Dato' Fazley Dilantik Duta Institut Kulinari Perancis


Ehsan: Murai.Com
KUALA LUMPUR, 7 JUN 2013: Sebuah lagi pencapaian diraih selebriti versatil, Dato' Fazley Yaacob yang kini dilihat menumpukan fokusnya dalam dunia masakan atau secara profesionallnya digelar seni kulinari sebaik sahaja menjadi juara dalam pertandingan realiti masakan MAsterchef Selebriti Malaysia yang pertama.
Kecintaannya dalam bidang masakan telah mendorong jejaka berusia 35 tahun ini untuk mendaftarkan diri di Le Cordon Bleu Institute of Culinary Arts, sekolah masakan terkenal daripada Perancis. Membuka pintunya di Sunway University College, Dato' Fazley telah mendaftar sebaik saja tamatnya program realiti Masterchef Selebriti Malaysia.
Kerana minat dan bakat yang dimiliki penyanyi yang digelar Abang Asmara satu ketika dahulu ini, akhirnya berjaya menempatkan dirinya sebagai pelajar terbaik di antara belasan pelajar lain yang terdiri daripada pelajar-pelajar luar negara.
Menyedari kepakaran serta kapasiti Dato' Fazley sebagai selebriti terkenal, Le Cordon Bleu berbesar hati melantik chef selebriti itu sebagai duta bagi Sunway Le Cordon Bleu Institute of Culinary Arts. Ia bertujuan untuk mengajak lebih ramai mempelajari seni masakan yang ditawarkan institute yang berprestij ini.
"Mereka datang pada saya dan menawarkan untuk menjadi duta bagi sekolah kulinari yang sangat dikenali dan diyakini kualitinya, sebagai peminat dunia masakan yang mengenali nama Le Cordon Bleu sudah pastinya saya amat menghargai pengiktirafan ini.
"Tugas sebagai duta adalah mempromosikan lagi kursus yang satu-satunya ditawarkan di negara dan ia mengambil tempat di Sunway University College. Buat masa ini memang bilangan pelajar sedikit tetapi mereka mahu membuka peluang kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia agar dapat menceburkan diri dalam bidang seni kulinari.
"Sebentar tadi juga pihak Sunway Le Cordon Bleu telah mengumumkan berita baik bahawa pihak kolej menyediakan biasiswa penuh dan separa penuh bagi mereka yang layak. Ianya dibuka kepada rakyat Malaysia dan juga pelajar dari warga asing serta bekas penuntut sekolah ini,"ujar Dato' Fazley ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta untuk Sunway Le Cordon Bleu Institute of Culinary Arts di Sunway University College, Bandar Sunway.